Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Menggalakkan pembangunan mampan, pertumbuhan inklusif BIMP-EAGA
27/05/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat ke Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia - Philippines (BIMP-EAGA) Ke-16, yang telah diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-16, di mana baginda menyatakan bahawa, selama lebih tiga dekad, BIMP-EAGA telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mempercepatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan di sub-wilayah itu.

Setelah Visi BIMP-EAGA 2025 mencapai kesimpulannya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, adalah penting bagi BIMP-EAGA untuk menilai semula pencapaian mereka bagi memastikan sub-wilayah yang lebih progresif dan makmur serta usahanya sejajar dan melengkapi ASEAN Community Vision 2045.

Dalam titah, baginda mengalu-alukan Visi BIMP-EAGA 2035 yang akan membimbing kerjasama dalam tempoh 10 tahun akan datang, dan menggalakkan pembangunan mampan dan pertumbuhan inklusif, memupuk integrasi serantau yang lebih mendalam serta kemakmuran bersama.

Pada mengakhiri titah, Kebawah DYMM menyambut baik usaha-usaha untuk menyusun semula, mengembangkan, dan membangunkan Koridor Ekonomi baharu yang akan menarik peluang pelaburan dan merangsang pertumbuhan.

Baginda juga bertitah menekankan kepentingan dalam memastikan semua ahli mendapat manfaat yang sama daripada peluang-peluang ini, dan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Kebawah DYMM turut bertitah menekankan bahawa pengukuhan mekanisme institusi BIMP-EAGA adalah penting, termasuk penubuhan sekretariat penuh untuk memudahkan kerjasama yang lebih fokus dan selaras.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto